Johan tilawah al-Quran peringkat antarabangsa di Iran tahun lalu itu membaca surah al-An’am bermula ayat 151 mengikut taranum soba nahawand.

Walaupun menggunakan al-Quran Braille, namun pelajar Diploma Tahfiz al-Quran berusia 21 tahun itu mampu memperdengarkan bacaan yang baik.

“Saya hanya buat yang terbaik. Sama ada menang atau tidak terserah kepada Allah SWT,” katanya kepada Utusan Online selepas selesai memperdengarkan bacaan.

MUHAMMAD QAYYIM NIZAR SARIMI (kiri) ditemani bapanya Sarimi Yusof, 54, menunjukkan cara membaca al-Q

MUHAMMAD QAYYIM NIZAR SARIMI (kiri) ditemani bapanya Sarimi Yusof, 54, menunjukkan cara membaca al-Quran Braille di Dewan MPS di Seremban malam ini. - UTUSAN ONLINE/AZRUL EDHAM MOHD. AMINUDDIN

Katanya, beliau mengalami masalah penglihatan sejak lahir dan mula belajar al-Quran pada usia empat tahun dengan cara mendengar.

Pada usia tujuh tahun, jelasnya, beliau mula belajar al-Quran menggunakan kaedah Braille.

Anak sulung pasangan pensyarah Institut Latihan Perindustrian (ILP), Sarimi Yusoff dan guru sekolah rendah, Rozan Mohammed itu bercita-cita menjadi guru al-Quran.

Walaupun berstatus OKU, Muhammad Qayyim Nizar mencatatkan kejayaan memberangsangkan dalam acara tilawah disertainya.

Beliau adalah johan peringkat negeri Kelantan tahun ini, naib johan tahun lalu dan johan pada 2017 pada peringkat yang sama.

Antara 2013 hingga 2016, beliau adalah johan Tilawah al-Quran Braille peringkat kebangsaan. - UTUSAN ONLINE