Pegawai Perhubungan Korporat dan Pemasaran Antarabangsa syarikat itu, Dr. Azlina Ahmad berkata, melalui konsep yang diperkenalkan bermula hujung bulan ini, pelanggan wanita akan diberi keutamaan dan keistimewaan tertentu.

Katanya, ini termasuklah khid­mat mengambil kereta mereka di pejabat atau rumah dan menghantarnya semula selepas selesai baik pulih tanpa sebarang bayaran tambahan.

“Langkah mengadakan per­khidmatan ini bagi memudahkan golongan wanita yang kebanyakannya tidak tahu aspek berkaitan kereta.

“Kami memilih tarikh 27,28 dan 29 setiap bulan untuk tujuan tersebut melibatkan pelanggan di sekitar Seremban dan Se-nawang,” katanya selepas majlis pelancaran program ‘Wanita dan Kereta-Kerisauan Anda Tanggungjawab Kami’ (Wake 2017) di sini hari ini.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh isteri Timbalan Menteri Luar, Datin Seri Ismalina Ismail.

Yang turut hadir Pengarah Urusan MAG Auto Garage, Zamani Baharom.

Menurut Azlina, syarikat itu memperkenalkan hari khas untuk wanita bagi mengelak golongan itu daripada diperdaya segelintir pengusaha bengkel yang tidak bertanggungjawab.

“Ramai wanita yang berdepan kemungkinan ditipu kerana mereka tidak tahu aspek berkaitan kereta. Kadangkala kereta hanya rosak sedikit tetapi pemilik bengkel mendakwa banyak barang yang kena tukar dan harganya mahal,” katanya.

Mereka yang ingin mendapatkan khidmat MAG Auto Garage boleh menghubungi talian 019-387 4976 (Zamani) atau 019-400 2552 (Azlina).