Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK negeri, Zubir Hamsa berkata, sehubungan itu pihaknya mengadakan pemeriksaan ke atas para peniaga bagi memastikan mereka mematuhi undang-undang dan menyekat peningkatan harga yang melampau.

Beliau menambah, pihaknya menyedari beberapa barangan basah mengalami kenaikan harga seperti ikan tilapia hitam, kubis bulat, tomato, betik, tembikai dan epal hijau.

“Ayam adalah antara yang dilihat mempunyai graf kenaikan harga secara berperingkat-peringkat mulai dua minggu lalu dan kini mencecah harga RM8.30 sekilogram berbanding RM7.50 sebelum ini.

“Oleh itu, pihak kami telah mengeluarkan notis kepada peniaga yang menaikkan harga untuk memberi penjelasan lanjut berkaitan kenaikan itu dalam tempoh lima hingga tujuh hari kepada KPDNKK.

“Dalam masa yang sama, kami akan menyemak semula dengan pemborong, peladang dan pengilang untuk mengetahui sebab kenaikan sesuatu barang itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas operasi pemeriksaan harga di Pasar Awam Port Dickson di sini hari ini.

Sebanyak 79 kedai di pasar itu telah diperiksa oleh 14 orang Pegawai Penguat Kuasa Pemantau Harga Negeri Sembilan.

Mengulas lanjut, Zubir berkata, dari tempoh 1 Januari sehingga 30 April lalu, sebanyak 28 kes telah dikompaun di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dengan nilai kompaun sebanyak RM8,600 manakala 11 peniaga diberi ama­ran bertulis.

“Selain itu kami juga telah membuat pemeriksaan ke atas 1, 395 premis di bazar Ramadan mulai 17 hingga 25 Mei lalu dan sebanyak 47 peniaga diberi amaran bertulis atas pelbagai kesalahan,” ujarnya.