Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kampung itu, Hamran Mohamad menyerahkan memorandum tersebut kepada Setiausaha Sulit Menteri Besar, Sharulfaizal Tahar di Wisma Negeri di sini kira-kira pukul 9.30 pagi.

Penduduk turut membawa sepanduk dan berhimpun di luar bangunan tersebut sejak pukul 9 pagi sambil melaungkan sokongan kepada Menteri Besar.

Hamran berkata, beliau mewakili penduduk mengucapkan penghargaan kepada Menteri Besar dan yakin isu tersebut dapat diselesaikan dengan baik.

“Kami yang merupakan peneroka asal tanah tersebut akan berdiri teguh dengan keputusan Menteri Besar dalam isu ini. Harapan kami adalah isu ini mencapai penyelesaian secepat mungkin kerana kami sedar akan kepentingan tanah tersebut,” katanya di sini.

Isu melibatkan tanah ladang Gatco yang berlarutan sejak 40 tahun lalu, kembali tercetus selepas puluhan penduduk ditahan polis ekoran menghalang lori yang membawa kayu getah keluar dari kawasan itu dalam dua insiden baru-baru ini.

Berikutan itu, beberapa penduduk yang didalangi pihak pembangkang mengadakan demonstrasi di hadapan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur mendakwa berlaku salah laku polis dalam penahanan tersebut.

Mohamad ketika mengulas perkara itu baru-baru ini berkata, kerajaan negeri tidak akan tunduk dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang cuba menghalang pembangunan tanah ladang tersebut. - UTUSAN ONLINE