Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkara itu selari dengan dasar kerajaan yang mengutamakan kemakmuran rakyat dalam perancangan dan pelaksanaan projek-projek pembangunan yang semakin pesat di negeri ini.

"Dalam mengejar cita-cita menjadi sebuah negeri maju, kerajaan sentiasa menitik beratkan aspek pembangunan yang bergerak selari dengan kesejahteraan rakyat.

“Misalnya pencapaian kemajuan tidak hanya diukur semata-mata pada sudut ekonomi bahkan meliputi pelbagai penyediaan kemudahan yang dapat menjadikan kehidupan rakyat lebih berkualiti,” kata­nya ketika berucap dalam Majlis Ramah Mesra Bersama Pensyarah Anak-Anak Negeri Sembilan di sini.

Yang turut hadir Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Mat Ali Hassan dan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang.

Mohamad berkata, projek tersebut termasuk pembangunan pusat riadah di atas sebidang tanah seluas 21.85 hektar di Bandar Enstek yang bakal dinikmati oleh golongan muda negeri ini.

"Kawasan itu bakal menempatkan lima padang bola sepak dan tiga padang ragbi untuk ke­gunaan sukan dan riadah.

“Kawasan di sekitar pusat riadah itu akan dihias dengan landskap bertemakan Taman Ing­geris untuk dijadikan kawasan isti rehat seisi keluarga.

Sementara itu, seramai 200 pensyarah di negeri ini dirai dalam majlis ramah mesra di kediaman rasmi beliau.

Mohamad berkata, acara tahunan yang diadakan sejak beberapa tahun lalu itu bertujuan merapatkan hubungan antara kerajaan negeri dengan golongan pendidik di negeri ini.