Ganjaran itu diberikan oleh pemaju hartanah, Matrix Concepts Holdings Berhad (MCHB) pada satu majlis di sebuah kelab rekreasi di Sendayan, dekat sini.

Pengarah Urusan Kumpulan MCHB, Datuk Lee Tian Hock berkata, seramai sembilan pemain pasukan itu menerima RM100,000 manakala ketua pasukan, Kuek Tian Yuan dan jurulatih, Brian Joseph Lester menerima sebanyak RM120,000.

"Selain ganjaran wang tunai, para pemain turut menerima kenaikan elaun antara 10 peratus hingga 25 peratus.

"Kumpulan MCHB juga bersetuju menambah peruntukan untuk pasukan itu daripada RM2 juta tahun lalu kepada RM2.4 juta tahun ini," katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Dalam perlawanan akhir piala itu pada 20 Disember lalu, Negeri Sembilan yang dibarisi seramai enam pemain kebangsaan berusia antara 27 hingga 35 tahun telah menumpaskan Melaka 78-64.

Pada kejohanan 2016, setiap pemain pasukan itu diberikan ganjaran sebuah kereta Toyota Vios dan wang tunai RM10,000.

Tian Hock memberitahu, pihaknya bercadang memberikan ganjaran sebuah apartmen untuk setiap pemain sekiranya menjadi juara sekali lagi tahun ini. - UTUSAN ONLINE