DAP yang memenangi paling banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) mendapat lima lantikan Exco, manakala PKR (tiga) dan PAN (dua). Tiada wakil dari PPBM ekoran parti itu tidak memenangi sebarang kerusi.

Menteri Besar, Aminuddin Harun berkata, pembahagian jawatan itu dibuat setelah perbincangan antara semua parti di bawah pakatan selepas memenangi PRU-14.

“Hasil perbincangan, formula 5-3-2 ini yang terbaik selaras dengan keputusan PRU-14. Ini adunan terbaik dan adil kepada semua,” katanya dalam sidang akhbar di kediaman rasmi Menteri Besar di sini.

Terdahulu semua 10 Exco tersebut mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah pagi ini.

Mereka terdiri daripada lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP iaitu Teo Kok Seong (Bahau), S. Veerapan (Repah), J. Arul Kumar (Nilai), Nicole Tan (Bukit Kepayang) serta Choo Ken Hwa (Lukut).

Tiga ADUN PKR pula ialah Dr. Rafie Ab. Malek (Ampangan), Ismail Ahmad (Labu) dan Mohamad Nazaruddin Sabtu (Pilah). Dua ADUN PAN yang dilantik sebagai Exco ialah Bakri Sawir (Klawang) dan Mohamad Taufek Abd Ghani (Paroi). 

Sementara itu, Aminuddin memberitahu, portfolio bagi setiap Exco terbabit akan diumumkan esok. - UTUSAN ONLINE