Ini kerana bagi pelajar berkenaan, terutama pelajar di luar bandar, dua mata pelajaran itu sendiripun sudah susah, katanya.

Beliau berkata bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa adalah betul tetapi dalam sesi pembelajaran matematik dan sains adalah sukar untuk difahami oleh pelajar.

"Tiada negara yang bahasa ibundanya bukan bahasa Inggeris mengajar matematik dan sains dalam bahasa Inggeris.

"Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) menunjukkan graf jurang penguasaan bahasa Inggeris sangat tinggi antara pelajar bandar dengan luar bandar," kata beliau.

Mohamad bercakap kepada pemberita selepas Majlis perasmian bangunan Sekolah Kebangsaan Taman Warisan Puteri dan Sekolah Menengah Kebangsaan Warisan Puteri di sini, hari ini.


Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kemudahan Awam, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Datuk Abu Ubaidah Redza dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan Pkharuddin Ghazali.

Mohamad berkata mana-mana pihak yang ingin meneruskan PPSMI tidak patut mempergunakan pelajar sebagai bahan uji kaji pembelajaran.

"Kalau pembangkang mahu mengembalikan PPSMI tiada masalah. Sesiapa boleh buat, tetapi saya tidak mahu mereka menjadikan anak-anak sebagai tikus makmal," katanya.

Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad pada Rabu lepas berkata Pakatan itu tidak menolak kemungkinan untuk memperkenalkan semula PPSMI sekiranya parti gabungan itu menang pada pilihan raya umum ke-14.

Terdahulu, pada majlis tersebut Mohamad turut memberi sumbangan berjumlah RM50,000 kepada dua sekolah tersebut. - BERNAMA