Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Hasim Rusdi berkata, pasar tani kekal itu akan dibina di tapak pasar tani sementara yang sebelum ini beroperasi setiap Jumaat di atas tanah seluas 1.2 hektar.

Hasim berkata, melalui peruntukan itu akan disediakan pelbagai kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air, tempat meletakkan kenderaan, surau serta tandas, selain kemudahan 80 ruang niaga.

"Medan niaga terbiar Majlis Daerah Jempol (MDJL) yang berada berdekatan kawasan tersebut akan dinaik taraf untuk dijadikan bazar makanan.

"Dengan adanya pasar tani kekal itu nanti, peniaga bukan hanya berniaga pada hari Jumaat sahaja tetapi pada setiap hari kerana kita percaya penduduk tempatan sememangnya memerlukan sebuah pasar bagi memudahkan aktiviti seharian mereka," katanya.

Hasim bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Pasar Tani Khas Aidiladha peringkat negeri di Pasar Tani Bandar Seri Jempol di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri, A. Rahaman Suleiman dan Ketua UMNO Bahagian Jempol, Senator Datuk Mohd. Salim Sharif.

Jelasnya, pelan cadangan dan reka bentuk bangunan kekal pasar tani berkenaan telah pun siap dan dalam proses akhir.

"FAMA turut merancang untuk mengadakan jualan borong di pasar tani kekal itu dalam usaha memperbanyak aktiviti perniagaan.

"Pembinaan itu antara usaha kerajaan dalam memastikan urusan jual beli ini dapat dibuat dalam suasana lebih selesa," katanya.