Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Seri Hasan Malek berkata, program anjuran kerajaan itu bertujuan menangani beban ditanggung rakyat ekoran kenaikan kos sara hidup.

Jelasnya, program yang dilaksanakan secara Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) itu turut menawarkan potongan harga antara lima hingga 20 peratus bagi setiap barangan.

“Dengan potongan harga yang lebih rendah daripada pasaran, program ini mencerminkan bahawa kerajaan benar-benar serius mencari kaedah yang dapat membantu rakyat mengurangkan beban kos sara hidup.

“Bagi membolehkan peniaga menjual pada harga yang lebih rendah, mereka bukan saja tidak dikenakan bayaran untuk tapak niaga malah disediakan oleh khemah oleh pihak penganjur,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan pembukaan operasi program My Best Buy di FAMA Kuala Pilah baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengarah FAMA ne­geri, Muslim Manja.

Terdahulu, para pe­niaga program tersebut menjual pelbagai barangan antaranya, sayur kampung, produk herba, ayam kampung, masakan kampung, pakai­an wanita, produk salai, apam Johol, buah-buahan dan tudung.

Program yang dianjurkan pada Isnin setiap bulan itu telah diadakan di Institut Latihan FAMA Port Dickson dan Pasar Komuniti dan Karavan (Pakar), Paroi di Seremban.

Hasan yang juga Duta Besar Malaysia ke Kemboja berkata, orang ramai menyambut baik jualan itu kerana membantu mereka menjimatkan perbelanjaan ter­utamanya barangan keperluan dapur.

“Sebagai contoh, minyak ma­sak lima kilogram berharga RM21 di pasaran biasa dijual pada harga RM18 di sini, manakala daging ayam murah RM1 sekilogram.

“Selain itu, saya gembira kerana ramai peniaga yang mengambil bahagian di sini adalah anak-anak muda yang bersemangat menja­yakan program ini,” ujarnya.