Dikenali sebagai Wisma Bandaraya, bangunan itu menempatkan semua jabatan dan unit dalam MPS kecuali Jabatan Taman dan Landskap.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan Dan Kampung Baru negeri, Teo Kok Seong berkata, bangunan itu dibeli oleh kerajaan dengan harga RM42.5 juta manakala kos ubah suai dan pembangunan adalah sebanyak RM21.4 juta.

Katanya, luas keseluruhan lantai bangunan itu ialah 21,417 meter persegi.

“Kemudahan yang ditawarkan di sini ialah 10 kaunter pelbagai dan enam kaunter bayaran dengan jumlah ruang meletak kereta sebanyak 578 petak dan 136 petak letak motosikal.

“Berdasarkan maklum balas orang ramai, kerajaan negeri akan berusaha menyediakan perkhidmatan bas percuma dari pusat bandar Seremban ke sini bagi memudahkan perjalanan,” katanya kepada para pemberita selepas melawat bangunan baharu itu hari ini.

Menurutnya, pembukaan Wisma Bandaraya itu adalah komitmen kerajaan negeri menjayakan dasar mendekati rakyat oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Selain untuk keselesaan orang ramai, Kok Seong berkata, bangunan baharu itu lebih kondusif dan mesra kepada pegawai dan kakitangan MPS termasuk dua bilik latihan dan satu bilik latihan komputer.

“Ini penting bagi membolehkan mereka melaksanakan tugas dengan lebih cekap dan berkesan dalam memberi perkhidmatan kepada orang ramai dan semua pihak berkaitan,” katanya.

Tambahnya, terdapat dua bilik mesyuarat masing-masing dengan kapasiti 153 dan 57 orang serta dua ruang hidang yang mampu menampung 120 dan 56 orang pada satu-satu masa.

Beliau berkata, nombor telefon baharu MPS ialah 06-7654333 dan unit call centre 06-7654444. - UTUSAN ONLINE