Pengalaman itu disaksikan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan, Leftenan kolonel (PA) Fazlisyah Muslim semasa me­nyertai Misi Bantuan Kemanusiaan Bencana di negara itu selama dua minggu bermula 29 September lalu.

Katanya, sepanjang berada di sana beliau dapat menyaksikan pelbagai kemusnahan akibat gempa bumi yang disusuli tsunami dan tanah bertukar menjadi pasir jerlus.

Menurutnya, paling menya­yat hati apabila melihat sendiri sejumlah mayat yang masih berada di kawasan bencana di Kota Palu serta di Donggala, Sigi dan Parigi Moutong.

“Pada minggu pertama saya tiba di Palu, keadaan agak huru-hara sebab bekalan elektrik terputus, tiada air bersih untuk diminum, jalan raya rosak teruk dan bekalan bahan api yang terhad.

“Kawasan penempatan di sepanjang pantai yang saya lawati habis musnah akibat gempa bumi dan impak tsunami. Rata-rata bangunan besar se­perti hotel dan pasar raya rosak teruk dan tidak selamat untuk dimasuki bagi misi menyelamat,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Fazlisyah merupakan antara dua pegawai APM dari Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan di bawah Pusat Penyela­rasan ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan (AHA Centre) sebaik sahaja bencana meletus pada 28 September lalu.

Tambahnya, semasa tiba pada hari ketiga kejadian, beliau mendapati masih banyak mayat diletakkan di tempat letak kereta di dua buah hospital di kawasan terjejas malah semua pesakit di situ dirawat di luar bangunan kerana bimbang gempa bumi susulan.

Sementara itu, Pegawai Bahagian Bencana Operasi Latihan dan Kebajikan APM negeri, Kapten (PA) Abdul Ba’ith Abdul Rahim berkata, dia bersama 16 anggota APM yang dipilih menyertai misi berikutnya bersama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dari 14 hingga 25 Oktober lalu berjaya mengeluarkan tujuh mayat yang tertimbus di Petobo.

“Korban pertama yang dikeluarkan dalam keadaan sungguh menyayat hati apabila dua mayat reput yang tertimbus dalam tanah saling berpelukan.

Di lokasi kedua pula, kami me­nemui mayat ibu dan anak­nya dengan tubuh yang masih lengkap tetapi bahagian kepala sudah reput.

“Jika diikutkan naluri manusia, memang kita sedih dengan keadaan begitu. Perasaan berdebar dan sedih bercampur baur ketika mengendalikan mayat mangsa tetapi demi tugas yang diamanahkan saya tidak terlalu memikirkannya,” katanya.

Misi tersebut dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan dari Indonesia, LAZIS Wahdah berjaya mengedarkan 800 kotak makanan, 400 kotak produk kebersihan diri dan 400 kit solat.