Pengerusi Jawatankuasa Ber­tindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru negeri, Teo Kok Seong berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada janji Pakatan Harapan meningkatkan amalan demokrasi dan profesio­nalisme dalam pentadbiran PBT.

Katanya, usaha itu akan memberi peluang kepada orang ramai termasuk wartawan mengikuti mesyuarat penuh PBT yang selama ini dijalankan secara tertutup.

“Kita boleh laksanakan tindakan ini supaya kerajaan baharu ini dilihat lebih terbuka dan pada masa yang sama prestasi ahli-ahli majlis PBT dapat dipantau oleh orang ramai.

“Ini dapat memastikan mereka akan bekerja lebih bersungguh-sungguh dan dasar-dasar kerajaan tempatan dapat dihayati oleh orang ramai,” katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM), baru-baru ini.

Negeri Sembilan mempunyai lapan PBT yang mana tiga daripadanya bertaraf perbandaran manakala Majlis Perbandaran Seremban (MPS) dan Majlis Perbandaran Nilai (MPN) sedang dalam proses pergabungan untuk membentuk Majlis Bandaraya Seremban awal tahun depan.

Mengenai kedudukan ahli-ahli majlis PBT ketika ini, Kok Seong berkata, tempoh perkhidmatan mereka akan tamat pada hujung Jun ini dan setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah mula menghantar senarai nama calon baharu.

Ditanya mengenai kedudukan Yang Dipertua bagi setiap PBT terutamanya MPS, beliau memberitahu, pihaknya menyerahkan perkara itu kepada Menteri Besar, Aminuddin Harun untuk tindakan selanjutnya.

Pada majlis itu, seramai 30 orang pelatih daripada Yayasan Kasih Sayang, Kuala Pilah diraikan dalam majlis berbuka puasa oleh SWM.

Para pelatih berkenaan terdiri daripada seorang ibu tunggal berusia 30 tahun, anak-anak ya­tim, saudara baharu dan golongan asnaf berusia antara lima tahun sehingga 21 tahun.

Yang turut hadir, Pengarah Eksekutif SWM, Dr. Uzir Abdul Malik dan Pengurus Wilayah Melaka dan Negeri Sembilan SWM, Dr. Al'Ashari Othman.