Bekas Penasihat Sosio Budaya Kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, menteri besar perlu menasihatkan Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan supaya memilih salah seorang daripada tujuh calon yang dikenal pasti bagi jawatan tersebut.

“Saya lihat pihak kerajaan negeri langsung tidak memainkan peranan dan dua menteri besar yang saya temui sebelum ini mengatakan tidak mahu campur tangan.

“Sedangkan Artikel 16 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan menyatakan menteri besar hendaklah menjadi penasihat tentang hal-hal berkaitan pemilihan Undang dan pegawai adat di luak masing-masing. Tetapi ini tidak dilakukan sehingga hari ini,” katanya di sini hari ini.

Beliau mengulas kemelut pelantikan Undang Luak Jelebu yang masih belum selesai selepas kematian penyandangnya, Datuk Musa Abdul Wahab pada 11 September 2014.

Dalam tempoh tersebut, sebanyak tiga kali pengumuman dibuat bagi mengisi kekosongan jawatan tersebut, namun tidak mendapat pengiktirafan Dewan Keadilan dan Undang serta kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Rais berkata, pelantikan Undang Luak Jelebu perlu disegerakan kerana mengikut undang-undang adat, seseorang Undang yang meninggal dunia hendaklah digantikan dalam tempoh tiga bulan.

Jelasnya, kegagalan berbuat demikian akan membawa implikasi perlembagaan terutama dalam pelantikan Yang di-Pertuan Besar yang memerlukan kata putus empat Undang iaitu Undang Luak Sungai Ujong, Rembau, Johol dan Jelebu.

Rais berkata, luak-luak di Negeri Sembilan disarankan supaya mewujudkan perlembagaan bertulis masing-masing bagi memastikan adat terpelihara selain memudahkan pelantikan Undang pada masa depan. - UTUSAN ONLINE