Nazli Md. Taib

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Nazli Md. Taib berkata, mat rempit akan bertindak agresif apabila kegiatan itu dihalang malah ada kumpulan mat rempit yang pernah mengepung kenderaan JPJ jika satu atau dua kenderaan berada di lokasi kegiatan mereka.

“Mereka adalah kumpulan yang bahaya. Lebih-lebih lagi jika berada dalam pengaruh dadah dan alkohol,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas analisis akhbar ini yang antara lain menyatakan kebimbangan orang ramai terhadap mat rempit yang semakin ‘mengganas’ di lebuh raya sekitar negeri ini termasuklah dengan aksi baring (superman), willi dan berdiri, di mana mengancam keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

Kata Nazli, JPJ negeri akan bekerjasama dengan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk membanteras samseng jalan raya ini.

“Bukan hanya mat rempit yang akan diburu tetapi pelumba kereta haram juga akan dibanteras. Kita tidak mahu golongan ini terus bermaharajalela di semua jalan dalam negeri ini, sama ada persekutuan, perbandaran mahupun negeri,'' tegasnya.

Menurut Nazli, sejak seminggu lalu pada hujung minggu dua kenderaan peronda JPJ telah berada di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) untuk mengekang kegiatan lumba haram membabitkan motosikal dan kereta.

“Kita akan adakan operasi besar-besaran untuk menghalang kegiatan samseng jalan raya itu,'' kata Nazli.

Dalam masa yang sama juga, beliau menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya tidak panik atau cemas apabila didatangi kumpulan mat rempit atau pelumba kereta haram ini.

“Terus berada dalam laluan pemanduan. Bukan saya nyatakan kita berikan laluan kepada mat rempit ini atau pelumba haram itu, tetapi bagi memastikan pengguna jalan raya tidak terbabit de­ngan kemalangan bersama kumpulan samseng itu.

“Apabila berlaku kemalangan kelak, bukan sahaja membahayakan pengguna jalan raya tetapi dibimbangi akan berlaku pertengkaran antara kumpulan itu, yang kemungkinan berada dalam pengaruh dadah dan alkohol,” tegas­nya.

Selain itu, dinasihatkan supaya pengguna jalan raya tidak bersikap agresif, menegur mat rempit itu kerana bilangan yang ramai.

“Ambil nombor motosikal mereka, rakam kegiatan itu dengan telefon bimbit. Serahkan kepada pihak JPJ ataupun polis, kita tahu cara untuk bersemuka de­ngan mereka,” katanya.

“Kalau mereka melanggar lampu isyarat dan lain-lain, kita ada peruntukan undang-undang. Jangan ingat mat rempit boleh lepas, kerana JPJ dan polis akan bersama memastikan mereka diburu sehingga ke rumah masing-masing,'' ujarnya.