Pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Tuanku Jaafar 2 (SKTTJ 2), Senawang dekat sini, itu berkata dia sentiasa konsisten mengulang kaji pelajaran selain memberi tumpuan penuh ketika berada di dalam kelas.

"Saya hanya belajar sendiri di rumah dan akan memastikan dalam sehari saya mengulang kaji satu subjek selama satu jam setengah," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengambil keputusan peperiksaan berkenaan di sini, hari ini.

Ibu Sarah Alya, Latifah Mohamed, 47, berkata beliau tidak menghantar anaknya ke tuisyen luar kerana melihat sistem pendidikan yang baik di SKTTJ 2, di mana pihak sekolah sentiasa mengadakan kelas tambahan, kem, bengkel dan memberi modul pembelajaran berkesan.

"Saya tidak memberi tekanan kepada dia sebab saya juga seorang guru jadi saya memahami kalau kita memberi tekanan kepada anak-anak akan menyebabkan mereka bertambah tertekan.


"Tugas saya memberi motivasi dan galakan kepada dia agar lebih bersemangat untuk belajar. Jadi saya nasihatkan kepada anak saya jangan lakukan kerja pada saat akhir," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun yang turut hadir sewaktu pengumuman keputusan PPSR di SKTTJ 2, mengucapkan tahniah kepada semua pelajar dan sekolah yang mencapai keputusan terbaik di negeri ini.

"Ini suatu pencapaian yang baik...sebanyak 10 peratus sekolah di negeri ini mencapai lebih 90 peratus penguasaan mereka dalam PPSR. 

"Kita sedia maklum pelaksanaan PPSR ini bukan kayu pengukur untuk kita melihat berapa banyak 'A' anak kita dapat, tetapi kita ingin lihat pencapaian mereka dari segi penguasaan dalam bidang kokurikulum, sukan dan sahsiah diri," katanya.

Aminuddin turut mengucapkan tahniah kepada dua buah sekolah luar bandar, SK Pilin dan SK Peradong yang berjaya mencapai 100 peratus pencapaian dalam PPSR.

"Murid di sekolah tersebut tidak ramai, tetapi mereka mencapai 100 peratus pencapaian dalam PPSR dan ini suatu pencapaian amat membanggakan," katanya. - BERNAMA