Daripada jumlah itu, dua siswazah iaitu Norfaizah Abu Kassim yang memperoleh keputusan cemerlang (mumtaz) dalam pengajian muamalat dari Universiti Yarmouk, Jordan dan Muhammad Kamil Kamaruddin yang mencapai sangat baik (jayyid jiddan) dalam bidang perubatan dari Universiti Ain Shams, Mesir dianugerah pengurangan sebanyak 100 peratus daripada pinjaman berjumlah RM142,000.

Kedua-dua mereka menerima anugerah berkenaan pada majlis penutup Program Intensif Timur Tengah 2017 anjuran MAINS di sini hari ini.

Majlis itu telah disempurnakan oleh Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Pengerusi MAINS.

Pada majlis yang sama, sebanyak 13 pelajar menerima pengurangan pinjaman sebanyak 75 peratus kerana memperoleh keputusan baik (jayyid) membabitkan potongan sebanyak RM696,000 manakala enam pelajar yang mencatat keputusan lulus (maqbul) diberikan pengurangan sebanyak 50 peratus bernilai RM47,000.

Baki lima siswazah menerima potongan sebanyak 25 peratus melibatkan jumlah RM22,000.

Pengurangan pinjaman berdasarkan kepada tahap kelulusan adalah satu bentuk insentif ditawarkan MAINS bagi menggalakkan pelajar tajaannya mencatatkan keputusan terbaik dalam pengajian.

Majlis hari ini turut meraikan seramai 20 bakal mahasiswa yang akan melanjutkan pelajaran ke Timur Tengah terdiri daripada 14 calon pengajian Islam di Maghribi, perubatan di Mesir (empat orang), pergigian di Mesir (dua orang).- UTUSAN ONLINE