Nurul Husna Sharif, 25, mula belajar ilmu taranum pada usia 9 tahun dan mula memasuki tilawah al-Quran pada usia 11 tahun di peringkat sekolah.

Sejak itu, beliau yang berasal dari Kampung Selengkoh, Yan, Kedah menyertai beberapa siri tilawah di negeri berkenaan.

Hasilnya, beliau berjaya meraih gelaran qariah negeri Kedah pada 2015 dan 2019 dan malam ini mewakili negeri itu dalam Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1440H/2019M di Dewan Perbandaran Seremban di sini.

Menurut graduan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu, pencapaian dalam bidang akademik tidak pernah melunturkan minatnya untuk mendalami ilmu al-Quran yang menjadi panduan hidup manusia.

“Saya cuba mencapai keseimbangan antara ilmu keduniaan dan akhirat yang menjadi cita-cita bagi setiap umat Islam,” katanya kepada Utusan Online selepas memperdengarkan bacaan pada malam ketiga tilawah tersebut.

Jelasnya, bapanya, Sharif Saad, 67, dan ibu, Che Basah Mohd. Ali, 59, sentiasa memberi sokongan kuat kepadanya untuk berjaya dalam kedua-dua bidang tersebut.

Anak bongsu daripada lima adik beradik itu berharap dapat peluang bertanding di peringkat antarabangsa.

“Saya juga bercadang menimba ilmu taranum dengan lebih luas dan berharap dapat mengajar ilmu ini satu hari nanti,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE