Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kawasan yang terjejas terutama di daerah ini mengalami banjir kilat berikutan longkang dan parit tersumbat hingga tidak mampu menampung jumlah air hujan.

“Hujan lebat yang turun selama dua jam menyebabkan banjir kilat di Seremban tidaklah teruk se­perti yang dilaporkan terutama yang berlaku di bawah bangunan UMNO dan perpustakaan negeri hingga menyebabkan 10 buah kereta terkandas dan rosak, itu semua tidak benar.

“Air hujan melalui kawasan tersebut tetapi yang menyebabkan banjir seperti biasa, longkang dan parit yang tersumbat,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Jentera Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) Dewan Undangan Negeri (DUN) N20, Labu di sini.

Jumaat lalu, beberapa kawasan terjejas termasuk tingkat bawah stesen bas dan pusat beli-belah Terminal One, Jalan Tuanku Munawir, Taman Sri Pulasan, Jalan Labu, Taman Jasper dan Taman Mutiara Galla 11.

Mengulas lanjut Mohamad ber­kata, masyarakat perlu memainkan peranan dan bertanggungjawab menjaga kebersihan longkang dan parit agar kejadian sama tidak berulang pada masa akan datang.

“Saya selalu mohon kerjasama dari masyarakat untuk tidak membuang sampah hingga menyebabkan longkang tersumbat dan sepatutnya, kita mengambil inisiatif membersihkannya, bukan membuang segala sampah atau dijadikan tong sampah.

“Jika longkang dan parit tidak tersumbat, besar kemungkinan banjir kilat tidak akan berlaku ke­rana di bawah stesen kereta api Se­remban, parit dan longkang semua kering cuma tersangkut dekat Jalan Lee Sam dan terminal bas,” katanya.

Mohamad berkata, masyarakat juga tidak boleh mengharapkan MPS atau pihak berkuasa tempatan (PBT) membersihkan longkang atau sungai semata-mata kerana ia adalah tanggungjawab bersama.

“Saya harap kejadian ini akan diambil berat oleh semua orang demi kebaikan bersama kerana kerajaan negeri telah berbelanjar besar untuk memperbaiki sistem tembatan banjir dengan membesarkan longkang dan parit.

“Sejak 2012, tidak pernah berlaku banjir di Seremban namun kebelakangan ini bermula balik kerana walau macam mana pun sungai dibesarkan tetapi dipenuhi sampah serta bahan bua­ngan, akan tersumbat dan menyebabkan banjir,” katanya.