Antaranya termasuklah lemang pulut, lemang pulut hitam, lemang jagung dan lemang sushi sekali gus menjadikannya hidangan paling menarik untuk dijamu kepada tetamu.

Bagaimanapun, ramai yang tidak begitu mengetahui keunikan lemang lerek yang dijual oleh seorang peniaga, Suhaimi Ahmad, 56, di Jalan Pantai di sini.

Menurut Suhaimi, lemang yang diusahakan bersama anaknya berbeza berbanding lemang yang dijual peniaga lain sekali gus menarik keha­diran ramai pelanggan.

Lebih dikenali sebagai Pak Mie, katanya, lemang itu dihasilkan menggunakan daun lerek yang diperoleh di kawasan pergunungan seperti di Gunung Berembun, Gunung Angsi dan Gunung Datuk di negeri ini.

“Untuk menghasilkan lemang ini saya dan anak terpaksa mencari daun tersebut di beberapa gunung tersebut.

“Berbeza dengan lemang yang dibalut daun pisang, lemang jenis ini lebih mudah untuk dibuka kerana buluh­nya tidak perlu dibelah.

“Hanya tarik daunnya dan isi lemang akan keluar daripada buluh dan sedia untuk dimakan,” katanya ketika ditemui di gerainya di sini hari ini.

Jelasnya, harga lemang yang dijualnya amat berpatutan iaitu antara RM10 sehingga RM16 mengikut saiz.

Tambahnya, tahun ini me­rupakan tahun pertama­nya menjual lemang dan hasil yang diperoleh diluar dugaan dan tidak menyangka mene­rima banyak permintaan daripada pelanggan.