Dalam kejadian kira-kira pukul 3.50 petang itu, mangsa berusia 30-an cedera di bahagian kepala dan badan.

Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, N. Sundarum berkata, seramai tujuh anggota bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.59 petang.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, anggota bomba mendapati mangsa tersepit separuh badan hingga bahagian kaki di bawah tayar jengkaut.

“Jentera berat itu terjatuh ke dalam gaung sedalam enam meter di kawasan hutan kira-kira dua kilometer dari jalan utama,” katanya di sini hari ini.

Mangsa yang masih sedarkan diri berjaya dikeluarkan dalam masa 30 minit dan dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar di sini untuk rawatan lanjut. - UTUSAN ONLINE