Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, polis berjaya menahan seorang suspek lelaki berusia 24 tahun yang dipercayai melakukan perbuatan tersebut.

Beliau berkata, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian, lelaki itu dilihat menggeledah pejabat dalam tokong tersebut yang terletak di Temiang dekat sini untuk mencuri wang.

“Suspek ditahan polis di depan sebuah restoran di Jalan Temiang di sini kira-kira pukul 12.15 tengahari hari ini.

“Polis merampas sebuah tabung disyaki milik tokong itu, pakaian yang digunakan oleh suspek semasa kejadian, sebuah topi keledar dan sebuah motosikal daripada suspek,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Tokong Then Sze atau turut dikenali sebagai Centipede Temple adalah sebuah tokong bersejarah di Seremban yang didirikan pada tahun 1864 dan antara lokasi tumpuan pelancong di sini. – UTUSAN ONLINE