Acara yang disertai sebanyak 400 penyertaan yang terdiri daripada peserta, media antarabangsa dan kru bersama-sama 35 kenderaan pacuan empat roda itu memberi impak besar kepada Negeri Sembilan berikutan julung kalinya diadakan di sini.

Lebih membanggakan apabila penganjur memutuskan akan menganjurkan IRFC tahun hadapan bersempena Festival Malaysia 2015 (MyFest 2015) di negeri ini dengan laluan yang lebih mencabar kepada peserta.

Pengurus Besar Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan (LPNS), Baharudin Jali berkata, lokasi yang dipilih bagi pertandingan itu merupakan antara tempat yang sering dikunjungi oleh pelancong yang sangat menghargai alam semula jadi.

“Antara daerah terlibat bagi pertandingan ini adalah Rembau, Kuala Pilah dan Jelebu serta Prologue yang diadakan di Hotel Nouvelle Pasir Panjang, Port Dickson.

“Penganjuran IRFC itu juga dapat menggalakkan aktiviti yang berkonsepkan ekopelancongan yang ada di negeri ini yang sememangnya terkenal dengan keindahan alam semula jadinya,” katanya.

Menurut Baharudin, IRFC itu juga mewujudkan peluang ekonomi melalui kedatangan pelancong dari negara serata dunia ke negeri ini.

“Pertandingan IRFC 2014 dapat merancakkan lagi ekonomi Negeri Sembilan melalui sektor perhotel­an, industri makanan dan perkhidmatan, pengangkutan dan juga industri hiliran.

“Kita juga dapat mempromosikan kepada pelancong berkaitan pekej dan produk yang terdapat di negeri ini khususnya produk ekopelancongan yang sememang­nya kaya dengan pelbagai jenis flora dan fauna,” katanya.

Katanya, Negeri Sembilan akan mendapat promosi percuma sehingga hampir ke-25 buah negara luar yang menyertai perlumbaan itu bagi tempoh jangka masa panjang dan ini sangat menguntungkan terutama kepada sektor pelancong­an di negeri ini.

Dalam pada itu, Presiden IRFC Malaysia, Luis J. A. Wee berkata, tujuan utama mereka mengadakan IRFC di Negeri Sembilan adalah ingin memberikan pengalaman baharu kepada peserta kerana ini merupakan kali pertama ia diadakan di negeri ini.

“Sepanjang 18 tahun acara ini diperkenalkan, ini merupakan tahun pertama ia diadakan di Negeri Sembilan dan semestinya memberikan cabaran dan pengalaman baharu kepada peserta IRFC.

“Kita juga ingin menunjukkan kepada media luar negara tentang keindahan alam semula jadi yang ada di negeri ini walaupun ia sebuah negeri kecil, namun memberikan kesan besar.

“Selain itu, hutan negeri ini juga menjadi titik tengah dan sempadan antara Selangor, Johor, Pahang dan Melaka, sekali gus menjadi sebab utama memilih negeri ini bagi mengadakan pertandingan IRFC,” katanya.

Luis berkata, mereka ingin menonjolkan kepada peserta dan media luar dengan budaya serta keunikkan dari segi makanan, cara hidup, suasana kampung dan semua perkara yang menarik terdapat di Negeri Sembilan.

“Kita ingin tonjolkan dan memberikan suatu perkara baharu kepada peserta dan media supaya mereka boleh membawa cerita di sini kepada negara ma­sing-masing,” katanya.

Tambah Luis, pertan­dingan kali ini memberi kelainan dengan memperkenalkan kategori baharu bagi wanita iaitu Utility Terrain Vehicle (UTV) dan semestinya memberikan cabaran kepada mereka.

Sebanyak 25 peringkat saingan perlu ditempuh setiap peserta di bawah lapan kategori kenderaan pacuan empat roda dengan jarak perjalanan sejauh 120 ki­lometer bermula dari Port Dickson dan berakhir di Jelebu.