Pembukaan laluan baharu bernilai RM12 juta itu dijangka memberi kelegaan kepada kira-kira 18,000 pengguna harian di Plaza Tol Seremban terutamanya kenderaan yang datang dari arah Seremban 2 dan Bukit Kepayang.

Dengan pembukaan laluan susur terbabit, kenderaan dari arah Seremban 2 dan Bukit Kepayang tidak perlu lagi melintas Jalan Sungai Ujong untuk masuk ke Plaza Tol Seremban (Arah Utara) yang sedia ada.

Sebaliknya, orang ramai boleh terus menggunakan laluan susur baharu untuk ke arah Nilai dan Kuala Lumpur sekali gus mengurangkan kesesakan lalu lintas di Jalan Sungai Ujong dan di Persimpangan Bertingkat Seremban.

Pembukaan rasmi susur baharu itu disempurnakan oleh Menteri Besar, Aminuddin Harun, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan), Kementerian Kerja Raya, Datuk Abdul Razak Jaafar; Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, Datuk Ir. Ismail Md. Salleh dan Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad, Datuk Azman Ismail.

Projek pembinaan jalan susur baharu itu bermula pada Januari 2017 dan siap sepenuhnya pada 31 Mei lalu.

Laluan susur baharu itu turut dilengkapi sebuah plaza tol masuk berkapasiti tiga lorong termasuk lorong SmartTAG dan lorong Touch 'n Go serta laluan khas motosikal.

habis.