Hasan Malek

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata, dengan koperasi diiktiraf sebagai penyumbang berterusan kepada keluaran negara, adalah amat wajar penggabungan itu dilaksanakan segera.

“Dasar Koperasi Negara (DKN) 2011–2020 mengandungi inisiatif ke arah transformasi gerakan koperasi untuk menjadikan sektor koperasi mampu bersaing dan menjadi pemain aktif dalam ekonomi negara.

“Menjelang 2020, koperasi akan berjaya menjadi entiti yang mampu berdiri setaraf dan bersaing dengan sektor swasta dalam pasaran terbuka, malah menjadi entiti perniagaan yang produktif, efisien dan kompetitif serta berupaya menyumbang secara signifikan kepada keluaran dan pembangunan negara,” katanya di Senaling, dekat sini hari ini.

Beliau bercakap kepada pemberita pada program Ihya Ramadan Parlimen Kuala Pilah bersama Dewan Undangan Negeri (DUN) Senaling di Masjid Kariah Terusan Seberang, Senaling dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senaling, Datuk Ismail Lasim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perpaduan dan Integrasi Nasional negeri.

Kata Hasan, sumbangan terbesar koperasi adalah dalam sektor perkhidmatan khususnya kewangan yang merupakan tulang belakang gerakan koperasi negara.

“Pengukuhan koperasi dalam perkhidmatan kewangan membolehkan perolehan ditingkatkan daripada 64 peratus kepada 70 peratus menjelang 2020,” ujar beliau.

Di samping itu katanya, sektor pengedaran juga dijangka memberi sumbangan signifikan kepada koperasi.

“Perangkaan semasa menunjukkan 50 peratus koperasi terlibat dalam sektor pengedaran dengan koperasi dewasa memainkan peranan penting bagi memastikan pengedaran barangan keperluan harian terutama barang kawalan sampai kepada rakyat terutama mereka yang tinggal di luar bandar,'' jelasnya.

Justeru katanya, koperasi peruncitan digalakkan bergabung untuk menubuhkan pasar raya supaya boleh beroperasi dengan skala yang lebih besar di kawasan yang tiada perkhidmatan itu.

“Lebih 90 peratus koperasi bersaiz kecil dan mikro dan sebahagian besar daripadanya wujud di luar bandar. Kawasan itu kaya dengan sumber semulajadi sebagai aset yang boleh menjana aktiviti ekonomi kepada koperasi setempat khususnya dalam industri pelancongan yang menawarkan produk eko-pelancongan,” jelasnya.

Selain itu katanya, dalam sektor peladangan negara, dianggarkan 100,000 hektar ladang kelapa sawit akan ditanam semula.

“Sebanyak 1,362 atau 19 peratus koperasi yang terlibat dalam aktiviti perladangan boleh memanfaatkan peluang ini dan dengan kekuatan modal yang ada, koperasi perladangan dan koperasi yang mempunyai tanah digalakkan untuk membangunkan sektor perladangan melalui gabungan atau kerjasama strategik,” katanya.

Bagi aspek pengeluar makanan pula, Hasan berkata, koperasi yang mempunyai tanah di luar bandar boleh digerakkan bagi menambah keperluan makanan negara serta wajar beroperasi secara berskala besar dengan mengaplikasikan teknologi moden untuk hasil yang lebih baik.