Pemangku Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan Aziz Mohd. Gorip berkata, kerja-kerja baik pulih bermula awal bulan ini bertujuan memulihara salah satu produk pelancongan bersejarah di negeri ini.

“Antara pemuliharaan yang dilakukan adalah pembaikan atap, pendawaian semula elektrik, pe­nggantian pagar kawasan dan pe­nyelenggaraan kawasan keli­ling.

“Ia juga melibatkan kerja-kerja kemasan seperti mengecat, membaiki papan tanda penera­ngan dan lain-lain lagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, peruntukan ba­gi kerja-kerja tersebut disalurkan Jabatan Warisan Negara dengan matlamat memelihara Kompleks Sejarah Pengkalan Kempas yang diangkat sebagai Warisan Kebangsaan pada 2015.

Ujarnya, kompleks itu me­nem­patkan makam pendakwah, Syeikh Ahmad Majnun yang telah menyebarkan Islam semasa zaman Kesultanan Melaka.

Selain itu, terdapat juga batu megalith atau lebih dikenali oleh penduduk tempatan sebagai ‘ba­tu hidup’ yang dipercayai wujud sejak abad ke-2 dan ke-3 di kompleks sejarah berkenaan.