Itu yang dapat digambarkan keunikan Klana Beach Resort Port Dickson yang terus dikunjungi orang ramai untuk menyaksikan sendiri fenomena cerapan cakerawala dan ilmu falak.

Hotel yang terletak di bekas tapak yang pernah popular sebagai tempat melihat anak bulan, Baitul Hilal di Kilometer 12.8 (Batu 8), Jalan Pantai Telok Kemang, Port Dickson dekat sini mula beroperasi sejak beberapa bulan lalu.

Pengurus hotel ini, Che Dzarudin Che Omar berkata, balai cerap ini adalah sebahagian daripada resort yang mana merupakan pusat kaji bintang yang moden dan terunggul di rantau ini.

Jelasnya, sebagai pusat penginapan yang mematuhi syariah, maka tidak ada alkohol dihidangkan di premis tersebut dengan semua jenis masakan dan minuman adalah halal.

"Kita mempunyai 43 bilik superior, 39 bilik deluxe dan tiga unit apartmen dengan harga promosi yang ditawarkan pada masa ini bermula daripada RM180 hingga RM450.

"Malah setiap bilik dilengkapi dengan kemudahan seperti televisyen plasma, seterika, peti keselamatan persendirian, pancuran air panas dan sejuk serta WiFi percuma, selain kolam renang yang bakal dibuka kepada orang ramai Mac ini," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Che Dzarudin memberitahu, sebaik sahaja balai cerap siap sepenuhnya, hotel itu bercadang menawarkan pakej mencerap cakerawala kepada para penginap sebagai satu tarikan yang berlainan berbanding dengan hotel lain di pantai peranginan popular itu.

Pada masa ini, katanya, pihaknya hanya menunggu pemasangan teleskop 609 milimeter yang merupakan antara teropong jauh terbesar di Malaysia untuk mencerap bintang, planet, langit dan cakerawala.

"Mereka yang menginap di resort ini bermula tahun depan bukan sahaja dapat melihat fenomena cerapan, malah turut berpeluang memasuki galeri astronomi melalui pakej yang ditawarkan.

"Teleskop yang digunakan juga adalah yang paling terbaharu di Asia Tenggara iaitu jenis Optical Guidance System, bersaiz 24 inci diameter," katanya.

Para pengunjung juga berpeluang melihat pemandangan Pantai Telok Kemang dan Pantai Seri Purnama serta kawasan Port Dickson apabila menaiki Anjung Tinggi setinggi empat tingkat.

Che Dzraudin menarik perhatian dengan segala kemudahan yang ditawarkan, pihaknya menganggap kadar bayaran adalah berpatutan bagi kawasan peranginan tersebut.