Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, dengan cara mengibarkan Jalur Gemilang akan dapat mewujudkan suasana pesta dan menarik minat orang ramai terhadap sam­butan berkenaan.

“Pada masa sekarang semangat cintakan negara semakin pudar dalam kalangan masyarakat. Justeru, pengisian di peringkat daerah dan jabatan kerajaan supaya kibarkan Jalur Gemilang akan menunjukkan kemeriahan seolah-olah satu pesta sempena Hari Kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Wisma Nege­ri di sini hari ini. Yang turut hadir Setiausaha Kerajaan ne­geri, Datuk Mat Ali Hasan.

Dalam pada itu, Mohamad turut menyuarakan kekecewaan terhadap tindakan segelintir pemilik premis terutamanya bangunan komersial yang tidak mengibarkan Jalur Gemilang.

Menurutnya, tiada sebab bagi premis terlibat gagal berbuat demikian kerana sudah begitu banyak gesaan dan pujukan oleh pelbagai pihak supaya setiap lapisan masyarakat mengibarkan Jalur Gemilang.

“Tidak perlu buat undang-undang untuk mewajibkan mereka kibarkan bendera. Saya mahu premis perniagaan bersama-sama menaikkan Jaur Gemilang supaya tunjukkan yang kita cintakan negara.

“Tunjukkan kepada masya­rakat luar yang negara kita aman damai sekali gus mempamerkan semangat kewarganegaraan dan pastikan sambutan kemerdekaan diisi sepenuhnya,” ujarnya.

Menurut beliau, bagi meme­riahkan sambutan tahun ini, laluan sepanjang 30 kilometer dari Plaza Tol Mambau di sini hingga Port Dickson akan dipasang de­ngan Jalur Gemilang.

“Kita akan mengadakan acara kibar Jalur Gemilang peringkat Negeri Sembilan pada 13 Ogos ini di Dataran Telok Kemang. Tahun ini acara sedikit berbeza kerana kita akan melancarkan Kembara Jalur Gemilang pada hari yang sama,” katanya.