ZAINUDDIN MOHD. ALI
ZAINUDDIN MOHD. ALI

Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Zainudin Mohd. Ali berkata, bagi membendung pembiakan nyamuk aedes, Jabatan Kesihatan negeri telah menjalankan operasi bersepadu di 16 tapak pembinaan di Seremban, Mantin, Nilai, Sendayan dan Senawang.

“Tiga daripada lokasi itu didapati menjadi tempat pembiakan aedes dan akan didakwa di mahkamah. Sabit kesalahan, pemilik boleh dihukum mengikut Seksyen 23 Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya.

“Tiga lagi pemilik tapak pembinaan diberi notis pembersihan di bawah Seksyen 8 kerana didapati berpotensi menyebabkan pembiakan nyamuk aedes,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Zainudin berkata, seramai 45 anggota penguat kuasa dari Pejabat Kesihatan Daerah Seremban, Kuala Pilah, Tampin, Rembau, Port Dickson dan Jelebu terlibat dalam operasi tersebut.

Ujar beliau, pihaknya turut mengedarkan lebih 880 gram abate untuk membunuh jentik-jentik dan 36 risalah berkaitan penyakit tersebut kepada pemilik tapak pembinaan semasa operasi itu. - UTUSAN ONLINE