Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, di bawah projek tersebut, sebanyak 56 unit rumah semi-D dan sebuah banglo bernilai lebih RM500,000 setiap satu disediakan untuk penduduk selain terdapat kemudahan tadika, gelanggang futsal, balai raya dan taman rekreasi.

Menurut beliau, setiap isi rumah turut diperuntukkan tanah seluas kira-kira dua hektar yang telah ditanam dengan kelapa sawit dan bakal menjana sumber pendapatan kepada penduduk di perkampungan itu.

“Dalam masa dua hingga tiga tahun lagi apabila pokok kelapa sawit mengeluarkan hasil, penduduk Orang Asli di sini boleh mendapat pendapatan sehingga RM1,500 sebulan berdasarkan harga komoditi berkenaan iaitu lebih RM500 satu tan pada masa ini. Mereka perlu ada pendapatan sendiri bagi menjamin masa depan mereka.

“Perkampungan tersusun ini merupakan penanda aras kepada dasar kerajaan negeri dalam mensejahterakan rakyat dengan menyediakan kediaman yang selesa,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah di Kampung Palebar Baru di sini semalam.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli, Datuk Hasnan Hassan; Setia­usaha Kerajaan Negeri, Datuk Mat Ali Hassan; Pengerusi Matrix Concepts Holdings Berhad, Datuk Mohamad Haslah Mohamad Amin dan Pengarah Urusan syarikat itu, Datuk Lee Tian Hock.

Perkampungan seluas kira-kira empat hektar yang didiami oleh Orang Asli dari suku Temuan itu dibangunkan oleh syarikat Matrix Concepts dengan setiap rumah mempunyai tiga buah bilik.

Penduduk sebelum ini dipindahkan dari Kampung Gadong Jaya, Labu ke kawasan itu selepas tanah mereka dibangunkan bagi pembinaan kira-kira 2,000 rumah mampu milik.

Dalam pada itu, menurut Mohamad, kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian terhadap masa depan Orang Asli dan telah mewartakan 29 kampung tradisi masyarakat itu bagi mengelaknya daripada terjejas akibat pembangunan.

“Kita juga akan pastikan semua perkampungan mereka mempunyai kemudahan asas iaitu elektrik dan air. Menjelang hujung tahun ini semua kampung tersebut akan mendapat bekalan elektrik,” ujarnya.

Sementara itu, Hasnan berkata, pihaknya menyambut baik projek perkampungan tersusun yang diperkenalkan di negeri ini dan bercadang memperluaskannya ke kawasan Orang Asli di seluruh negara.

“Kita akan melihat beberapa kawasan Orang Asli yang sesuai antaranya di Dengkil yang mempunyai tanah untuk dimajukan dengan kerjasama pihak swasta kerana lokasinya terletak berdekatan dengan Sepang,” ujarnya.

Beliau berkata, pihaknya juga menyasarkan untuk meningkatkan pendapatan isi rumah masyarakat Orang Asli iaitu sehingga RM2,500 sebulan menjelang tahun 2020 berbanding RM1,200 sebulan tahun lalu.