MOHAMAD HASAN
MOHAMAD HASAN

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, walaupun sistem berkenaan telah terbukti berkesan diguna pakai oleh negara maju namun ia tidak semestinya sesuai dilaksanakan di sini.

Beliau berkata, sistem yang hendak diperkenalkan di sini mesti memberi manfaat kepada kedua-dua pihak iaitu pelaksana dan pengguna.

“Oleh sebab itu, kerajaan negeri telah menolak cadangan awal pihak berkuasa tempatan (PBT) di sini yang hendak memperkenalkan sistem caj letak kereta menggunakan teknologi maklumat dan telekomunikasi (ICT).

“Cadangan itu bagus di atas kertas tetapi sukar dilaksanakan kerana ia akan mendatangkan kesusahan kepada orang ramai kerana bukan semua pengguna kenderaan mempunyai kemudahan seperti telefon pintar,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Exco di sini hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri tidak bimbang mengenai kehilangan pendapatan oleh PBT akibat tidak dapat mengutip bayaran letak kereta yang tertangguh sejak beberapa bulan lalu.

Jelasnya, ia lebih bimbang sistem yang hendak dilaksanakan itu mendatangkan kemarahan orang ramai kerana menyusahkan mereka kerana perlu memiliki aplikasi ICT.

Mohamad memberitahu, beliau telah mengarahkan PBT untuk menilai beberapa cadangan lain berkaitan perkara itu dan membentangkannya kepada kerajaan negeri untuk mendapat kelulusan.

“Sementara itu, pengguna boleh menikmati kemudahan letak kereta secara percuma sehingga satu keputusan lain dibuat,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE