Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan (gambar) berkata, bagi tujuan itu, pihak-nya akan menyusulkan cada­ngan kepada pemaju supaya menaikkan sebanyak 20 peratus rumah berharga RM80,000 ke bawah dalam projek perumahan mereka berbanding 15 peratus pada masa ini seperti yang ditetapkan oleh Dasar Perumahan Negeri Sembilan.

“Dasar itu sebelum ini menetapkan sebanyak 50 peratus daripada pembangunan projek rumah mesti dibina dengan rumah mampu milik iaitu berharga RM80,000 sebanyak 15 peratus, 20 peratus bagi rumah RM400,000 ke bawah dan bakinya rumah RM250,000 ke bawah.

“Melalui mesyua­rat Exco kerajaan negeri pada Rabu ini, saya akan mengemukakan cada­ngan tersebut termasuk kediaman RM400,000 ke bawah dikurangkan kepada 15 peratus.

“Perubahan ini mengambil kira permintaan untuk sektor rumah berharga RM80,000 ke bawah yang begitu tinggi berbanding rumah mampu milik lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mampu Milik Jenis A, Taman Sunggala Hartamas dan Majlis Penyerahan Suratan Hak Milik Rumah Rakyat Teluk Kemang III di sini .

Dalam majlis itu, seramai 96 pemilik rumah mampu milik di Taman Sunggala Hartamas menerima kunci bagi unit masing-masing.

Mohamad berkata, dasar perumahan yang diperkenalkan pada 2015 bukan sahaja mewajibkan 50 peratus pembangunan daripada seluruh unit dalam bentuk rumah mampu milik tetapi kerajaan ne-geri juga telah menaikkan kuota pemilikan rumah Bumiputera daripada 30 peratus kepada 50 peratus.