AMINUDDIN HARUN
AMINUDDIN HARUN

Menteri Besar, Aminuddin Harun berkata, beliau dan pihak yang terlibat dengan RTC Rembau akan mengadakan perbincangan mengenai perkara itu pada Isnin ini.

“Kita akan kaji semula. Saya tiada masalah untuk melihat tentang kos operasinya.

“Bagaimanapun kita perlu pastikan ia mendapat sambutan yang baik,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas satu program anjuran sebuah stesen televisyen di sini hari ini.

Semalam sekumpulan 50 penduduk berhimpun di hadapan Masjid Jamek An-Nur di Rembau bagi menyatakan bantahan terhadap penutupan RTC Rembau.

Aminuddin pada Rabu lalu mengesahkan RTC tersebut akan ditutup dan RTC baharu dibuka di Jempol kerana lokasinya yang lebih strategik untuk penduduk luar bandar.

Aminuddin berkata, RTC Rembau sebelum ini diuruskan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar, namun kementerian itu membuat keputusan menyerahkannya kepada kerajaan negeri.

Jelasnya, kerajaan Persekutuan melakukan penstrukturan semula RTC di seluruh negara kerana perkhidmatan itu tidak mendapat sambutan menggalakkan daripada rakyat.

Tambah beliau, kerajaan juga tidak lagi mampu menampung perkhidmatan yang diperkenalkan kerajaan Barisan Nasional itu ekoran tidak menguntungkan dan hanya dilaksanakan untuk kepentingan politik. - UTUSAN ONLINE