Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihaknya akan membincangkan semula kewajaran menaikkan kadar bayaran tersebut yang sebelum ini diputuskan Majlis Perbandaran Seremban (MPS).

“Kita akan kaji sama ada kenaikan ini munasabah dan melihat semula apakah ada tambah nilai seperti kemudahan kepada pengguna di kolam renang tersebut.

“Kita juga tidak mahu kolam renang itu tidak dapat menampung kos sehingga menyebabkan kualitinya rendah dan akhirnya rakyat akan tanggung risiko.

“Seperti yang kita tahu kolam renang awam sepatutnya dapat memberi kemudahan kepada masyarakat,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Kenaikan kadar bayaran tersebut tular dalam media sosial sejak semalam dan disifatkan tidak wajar oleh sesetengah pihak.

Berdasarkan kadar baharu itu, pengguna dewasa akan dikenakan bayaran RM4 pada hari biasa berbanding RM2.50 sebelum ini, manakala kanak-kanak dinaikkan dari RM1.50 kepada RM3.

Pada cuti umum dan hujung minggu, kadar bayaran masuk dewasa dinaikkan dari RM3.50 kepada RM5, manakala kanak-kanak dikenakan bayaran RM4 berbanding RM2.50 sebelum ini.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Dr. Razali Ab. Malik berkata, MPS mengumumkan kenaikan kadar itu selepas mengambil kira kos penyeliaan kolam renang yang mencecah RM45,000 sebulan.

“Berbanding tempat lain yang mengenakan sehingga RM8, kadar baharu ini masih rendah. Ia tidak dinaikkan sejak 2007 iaitu selama kira-kira 12 tahun,” katanya. - UTUSAN ONLINE