Sokongan ibu bapa amat penting kerana anak akan gembira dan berbangga apabila segala usaha mereka disaksikan oleh keluarga sendiri.

Baru-baru ini, seramai 420 pelajar dari 15 sekolah menyertai Perkhemahan Kor Kadet Polis Peringkat Daerah Jempol di Kem De’Bana dekat sini.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hamzah Alias berkata, sepanjang lima hari, pelajar berkenaan melakukan pelbagai aktiviti dengan tumpuan khas untuk kawad kaki.

“Apabila tiba hari penutup, mereka akan melakukan yang terbaik dan membuktikan usaha yang dibuat sepanjang tempoh itu berbaloi.

“Malah lebih menyeronokkan apabila kejayaan mereka berkawad disaksikan sendiri oleh ibu bapa masing-masing,” katanya ketika berucap dalam majlis penutup perkhemahan berkenaan.

Yang turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah Jempol dan Jelebu, Rodiah Mohd. Jan dan Komandan Kem Program Latihan Khidmat Negara De' Bana, Mejar Azhar Arshat.

Hamzah berkata, mana-mana pihak yang mahu menganjurkan aktiviti seperti itu boleh mempelawa ibu bapa sebagai tetamu yang perlu hadir ke majlis berkenaan.

“Sama seperti ketika pelatih menamatkan latihan asas kepolisan yang mana ibu bapa mereka akan dijemput untuk melihat kejayaan anak. Kehadiran ibu bapa dalam majlis kecil seperti ini pasti membuatkan mereka merasa bangga dan memberikan sokongan kepada anak.

“Ia juga akan meningkatkan keyakinan, jati diri pelajar dan pastinya menaikkan semangat pelajar. Ia satu kaedah motivasi yang berkesan dan saya mahu program penting tahunan seperti ini meninggalkan kesan mendalam kepada pelajar,” katanya.

Hamzah berkata, peluang menyertai kadet polis perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya dan bukan sekadar melengkapkan sijil tamat sekolah.

“Fahami apa yang dipelajari dan aplikasikan dalam kehidupan seharian, jangan langgar undang-undang tetapi bantu menyalurkan maklumat kepada pihak polis,” katanya.