Malah usaha itu tidak hanya dilihat secara penyertaan, bahkan ia lebih menjurus kepada kreativiti penganjur untuk menjadikan program sambutan kemerdekaan bukan sahaja menarik bahkan me­ninggalkan kenangan manis buat perserta.

Mengambil contoh acara berbasikal di sekitar pekan Bahau dekat ini kelmarin, program berkenaan yang dianjurkan sempena Hari Kebangsaan berjaya menghimpunkan 600 peserta dari negeri ini selain Johor dan Melaka.

Program anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Bakar Batu Bahau serta Bahau Cyling Club diadakan bagi memupuk semangat perpaduan serta melahirkan masyarakat yang sihat.

Penyelaras program, Steven Chong berkata, program yang pertama kali diadakan ini disertai oleh 13 buah kelab basikal termasuk pa­sukan dari Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Jempol.

“Ia melibatkan peserta yang berusia sembilan sehingga 60 tahun dan terbahagi kepada dua kategori iaitu Mini Jamboree dan Kayuhan Bebas. Untuk mini jamboree peserta akan mengayuh sejauh 28 kilometer.

“Manakala bagi kayuhan bebas pula melibatkan kayuhan sejauh 12 kilometer,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bahau, dekat sini kelmarin.

Majlis itu telah dirasmikan oleh Ketua UMNO Bahagian Jempol, Senator Datuk Mohd. Salim Sharif dan Ketua Polis Daerah Jempol, Suprintendan Hamzah Alias.

Jelasnya, untuk Kayuhan Bebas peserta akan melalui pekan Bahau, Jalan Batu Kikir serta Kampung Jambu Lapan.

“Untuk kategori Jamboree ia agak mencabar kerana peserta akan melalui jambatan gantung berhampiran pekan Jelai.

“Jambatan sepanjang 80 meter itu asalnya adalah jambatan lama dan ia dibaiki untuk program ini. Untuk keselamatan peserta hanya sebuah basikal sahaja boleh melalui jambatan itu pada suatu masa,” katanya.

Sementara itu, Hamzah berkata, penglibatan polis di dalam aktiviti tersebut amat bagus dan dapat me­lahirkan anggota yang aktif.

“Bila mereka terlibat dalam aktiviti seperti ini ia sekali gus dapat mendekatkan mereka dengan masyarakat. Malah aktiviti ini juga boleh mengurangkan tekanan kerja dan memupuk sikap berpasukan di antara mereka,” katanya.