Menteri Besar, Aminuddin Ha­run berkata, usaha itu dilakukan kerana mahasiswa universiti tersebut banyak melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan dan mendekati penduduk di seluruh pelosok negeri ini.

Beliau berkata, melalui kajian tersebut kerajaan negeri boleh mengetahui maklumat tentang keperluan rakyat meliputi pelbagai aspek.

“Dengan cara ini kita tahu apa rakyat mahukan. Mahasiswa buat program dengan masyarakat dan mereka juga dapat maklumat apa yang perlu kerajaan tambah baik,” katanya selepas Majlis Ama­nat dan Lafaz Ikrar Pelajar Baharu Peringkat Sarjana Muda Sesi Akademik USIM 2018/2019 di Dewan Tuanku Canselor di Nilai dekat sini, baru-baru ini.

Yang turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah USIM, Tan Sri Prof. Dzulkifli Abdul Razak dan Timbalan Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Musa Ahmad.

Menurut Aminuddin, sebagai sebuah universiti awam, USIM memberi manfaat besar kepada negeri ini bukan saja dalam bidang pendidikan bahkan meliputi aspek kerohanian dan kemanusiaan.

“USIM adalah pusat pengajian yang mampu memberi sokongan untuk membangunkan negeri ini termasuk dalam tanggungjawab sosial korporat melalui aktiviti seperti projek komuniti, projek khidmat kesukarelaaan dan projek bersama Orang Asli.

“Aktiviti tersebut memberi ke­san baik dan kita harap ia dapat dipertingkatkan kerana USIM beri banyak kebaikan kepada ma­syarakat setempat.

“Banyak program boleh dianjurkan antaranya dengan Jabatan Pendidikan dan pihak berkuasa tempatan khususnya di sekitar Nilai,” jelasnya.

Beliau berkata, kerajaan ne­geri juga bersetuju memberi sumba­ngan sebanyak RM250,000 kepada universiti itu dan berharap bantuan itu dapat mengimarahkan lagi program kemasyarakatannya.

Seramai 2,198 pelajar baharu mendaftar bagi sesi akademik 2018/2019 USIM termasuk 19 pe­lajar dari Indonesia, Singapura, Thailand, Bangladesh dan Brunei.