Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau gembira dan bangga dengan peningkatan pencapaian graduan negeri ini dalam bidang pendidikan.

“Semasa Anugerah Siswazah Ce­merlang Kelas Pertama diper­kenalkan kerajaan negeri pada tahun 2006, hanya seorang graduan yang layak menerima anugerah tersebut.

“Bagaimanapun, jumlahnya ber­tambah dan bagi tahun ini seramai 478 graduan menamatkan pengajian dengan Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama.

“Ternyata anugerah yang diwujudkan ini berjaya memberi cabaran kepada mahasiswa supaya berusaha dengan lebih gigih bagi memperoleh kelulusan yang cemerlang. Ini juga adalah selaras dengan hasrat kita melahirkan lebih ramai cendekiawan atau pendeta Za’aba moden,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyampai­an Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama 2017 di Klana Resort di sini. Kesemua graduan menerima imbuhan sebanyak RM5,000.

Yang turut hadir Pengerusi Ja­watankuasa Bertindak Pendidikan dan Kesihatan negeri, Datuk Shamsulkahar Mohd. Deli; Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Modal Insan, Belia dan Sukan, Datuk Zaifulbahri Idris dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Mat Ali Hassan.

Mohamad berkata, graduan yang mencatat keputusan baik di universiti perlu meneruskan budaya kecemerlangan dalam apa juga bidang yang diceburi serta di alam pekerjaan.

“Jangan kira dari mana kita datang sama ada estet, kampung atau Felda kerana latar belakang bukan penentu kejayaan hidup kita. Apabila sudah berjaya jangan lupakan kampung dan masyarakat yang secara langsung atau tidak langsung terlibat dalam kejayaan kita,” katanya.

Beliau memberitahu, pada ta­hun ini, seramai 37 graduan cemerlang telah diberi penge­cualian daripada membayar balik pinjaman pendidikan yang dibuat dengan Yayasan Negeri Sembilan berjumlah RM507,330.

Ujarnya, sejak tahun 2010 hingga tahun lalu, seramai 219 graduan telah menerima pengecualian tersebut dengan nilai keseluruhan pinjaman berjumlah RM2.6 juta.

“Bagaimanapun, kepada gra­duan yang perlu membayar balik pinjaman pendidikan saya harap mereka mesti berbuat demikian kerana pinjaman tersebut akan digunakan pula bagi membiayai kos pendidikan pelajar selepas mereka,” katanya.