Menteri Besar, Aminuddin Harun berkata, kenaikan sebanyak RM1.40 bagi setiap 20 meter padu air dicadangkan untuk negeri ini oleh Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli serta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara dalam taklimat hari ini.

Beliau berkata, langkah menaikkan kadar tarif perlu diteliti dan diperhalusi dari segi impaknya kepada penduduk selain operasi Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd. (Sains).

“Walaupun kenaikan nampak kecil, tetapi kita mahu lihat kesannya. memang benar Sains dalam keadaan baik dan tidak alami kerugian tetapi kos operasi terus meningkat.

“Kita khuatir dalam dua atau tiga tahun, syarikat akan sukar untuk beroperasi kerana terdapat keperluan membina sebuah loji baharu untuk menampung air bagi kegunaan di Seremban dan sekitarnya.

“Kemudahan itu perlu disiapkan sebelum tahun 2022 dan kosnya ratusan juta ringgit yang perlu ditanggung oleh Sains,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.

Dalam pada itu, Aminuddin memberitahu, kadar tarif air domestik di negeri ini tidak pernah dinaikkan sejak 18 tahun lalu.

“Hanya kadar tarif air untuk industri dan perladangan yang pernah dinaikkan dalam tempoh tiga dan lima tahun lalu,” katanya

Beliau berkata, pada masa ini kira-kira 52 peratus daripada pengguna domestik di negeri ini menggunakan kurang daripada 20 meter padu air setiap bulan. - UTUSAN ONLINE