Majlis ikrar itu diketuai Pe­ngarah Pendidikan negeri Rusni Ab. Jalil dan disaksikan oleh Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri, Ramli Ismail.

Menurut Ramli, IBR merupakan satu pendekatan baharu yang diperkenalkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad.

Ujarnya, ia melibatkan komitmen daripada setiap individu dalam organisasi yang perlu memahami apa yang diikrarkan dalam menangani isu-isu ra­suah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

“IBR ini fokus kepada individu iaitu komitmen secara sukarela. Sehubungan itu, apabila ikrar telah dilafazkan, bermakna pegawai dan kakitangan terbabit telah berjanji untuk memenuhi segala apa yang telah diikrarkan.

“Ikrar itu janganlah dijadikan sebagai tiket bahawa kita telah bebas daripada rasuah kerana banyak perkara lagi yang perlu diberikan perhatian seperti dari segi isu-isu tadbir urus,” katanya.

Dalam pada itu, Ramli berkata, untuk memastikan pentadbiran berjalan dengan baik, pegawai terbabit perlulah memahami dan mengikut segala arahan yang diberikan selagi ia bertepatan dengan apa yang sepatutnya dijalankan.

“Kita tidak mahu isu-isu yang remeh diperbesarkan dan sete­rusnya menyebabkan tadbir urus tidak dapat berjalan dengan baik,” katanya lagi.