Menurutnya, beliau akan menulis surat peletakan jawatan tersebut dalam tempoh terdekat bagi menghormati keputusan yang telah dibuat dalam mesyuarat berkenaan.

“Dalam perlembagaan (SIGC) letak (tulis) boleh jual arak. Dalam perlembagaan juga letak saya sebagai Presiden. Tapi saya akan letak jawatan sebagai menghormati keputusan.

“Saya belum sempat tulis (surat letak jawatan). Dalam masa terdekat saya akan tulis, tetapi pada dasarnya saya telah letak jawatan,” katanya kepada pemberita pada Program Pelancaran dan Pemakaian Pangkat Briged Sukarelawan Skuad 69 Bagi Negeri Sembilan di sini hari ini.

EGM SIGC yang berlangsung semalam menarik balik larangan penjualan minuman keras di kelab golf tersebut yang sebelum ini dilaksanakan berikutan cadangan Aminuddin.

Seramai 135 ahli berbayar kelab golf itu menghadiri mesyuarat tersebut dan menolak keputusan jawatankuasa pengurusan tidak menjual minum berkenaan yang dibuat dalam mesyuarat pada 20 Ogos tahun lalu.

Mesyuarat malam itu dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Razali Ab. Malik yang juga Naib Presiden kelab golf milik kerajaan negeri itu, namun Aminuddin tidak menghadirinya.

Aminuddin pada 21 Mac lalu menegaskan beliau akan melepaskan jawatan Presiden SIGC sekiranya EGM berkenaan memutuskan untuk menjual semula arak di kelab tersebut.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Agama Islam negeri menjelaskan larangan itu bagi menjaga sensitiviti kerana kelab golf itu terletak berhampiran masjid dan kawasan perumahan majoriti umat Islam. - UTUSAN ONLINE