Puteri Auni Khadijah Mohd. Hanif adalah peserta termuda dalam acara tersebut.

Menariknya, dia dianggap menyambung legasi abangnya, Putera Abu Bakar dan kakaknya, Puteri Aminah yang juga menjadi peserta termuda hafazan al-Quran peringkat kebangsaan semasa mencapai usia yang sama sepertinya dahulu.

Auni memberitahu, ini adalah kali pertama menyertai hafazan al-Quran peringkat kebangsaan selepas menang di peringkat negeri.

“Saya berasa gembira walaupun berdebar-debar kerana menyertai acara di peringkat lebih tinggi dengan para peserta yang hebat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambahnya, beliau bercita-cita untuk menjadi pengajar al-Quran satu hari nanti.

“Saya ingin melihat lebih ramai huffaz al-Quran dan menyebarkan ilmu hafazan dengan lebih luas,” ujarnya.

Kejayaan Puteri Auni Khadijah yang kini menghafaz seba­nyak 15 juzuk adalah hasil sokongan kuat bapanya, Mohd. Hanif Hasan, 42, yang me­nubuhkan Pusat Pengajian Tahfiz Abu Bakar kira-kira empat tahun lalu dan ibunya, Tengku Lela Marsita Tengku Ariff, 39, yang juga mengajar al-Quran.

Puteri Aminah kini berusia 17 tahun telah menyertai hafazan al-Quran peringkat kebangsaan sebanyak empat kali dan dua kali dinobatkan sebagai johan dan dua kali naib johan. Beliau pernah menyertai pertandingan peringkat antarabangsa di Algeria pada 2017.

Sementara itu, Putera Abu Bakar juga pernah menyertai hafazan al-Quran peringkat kebangsaan.

Tahun ini, seramai 84 peserta hafazan al-Quran ber­saing dalam tiga kategori yang dipertandingkan.