Ketua Pengarahnya, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, dalam keadaan cuaca yang kering, pembakaran terbuka boleh merebak dengan cepat dan menyukarkan kerja-kerja memadamkan kebakaran.

“Pembakaran terbuka termasuk pembakaran sampah boleh menjadi punca berlakunya kebakaran belukar, hutan dan lalang.

“Mereka yang melakukan aktiviti mendaki gunung atau bukit juga diingatkan supaya tidak meninggalkan unggun api dan membuang puntung rokok kerana boleh mencetuskan kebakaran,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018 JBPM Negeri Sembilan di sini hari ini. Yang turut hadir Pengarah JBPM negeri, Norazam Khamis.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) semalam menjangkakan cuaca panas di beberapa kawasan di negara ini akan berlarutan sehingga Mac nanti.

Mohammad Hamdan berkata, pihaknya telah mengenal pasti dan sentiasa memantau kawasan belukar, hutan dan kawasan tanah gambut yang sering berlaku kebakaran di seluruh negara.

“Dalam tempoh seminggu lalu, kita mengesan berlaku kebakaran belukar di beberapa kawasan seperti di Sepang dan Nilai, tetapi ia berjaya dikawal.

“Sepang adalah kawasan tanah gambut terbesar di Lembah Klang dan biasanya mengalami kebakaran setiap tahun. Ia kawasan sensitif kerana laluan penerbangan dan kita tak mahu penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terjejas,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE