Penduduk tersebut, Idris Yahya, 65, berkata, masalah berkenaan berlaku disebabkan longkang di belakang rumahnya tersumbat berikutan kejadian tanah runtuh sebelum ini.

“Tanah runtuh yang menjejaskan longkang itu menyebabkan aliran air di sini terhalang. Setiap kali hujan, air akan masuk ke dalam rumah sehingga menyukarkan kehidupan kami sekeluarga.

“Kalau hari hujan saya tidak dapat tidur kerana risau kalau kejadian lebih buruk berlaku. Saya berharap selepas ini masalah sama tak berlaku dan terima kasih kepada semua pihak yang membantu,” katanya ketika ditemui dalam ‘Program Jom Bantu Rakyat’ di sini.

Program itu melibatkan Penyelaras Mukim Ampangan, Pejabat Daerah dan Tanah Se-remban dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Panchor.

Sementara itu, Penghulu Mukim Ampangan, Mohd. Nizar Abdullah berkata, masalah terbabit melibatkan sembilan buah rumah lagi di kawasan itu dan usaha yang sama akan turut diambil secara berperingkat-peringkat.

Katanya, setiap kali hujan pemantauan akan dilakukan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan dan Majlis Perbandaran Seremban bagi mengelakkan kejadian buruk berlaku.

“Gotong-royong ini dapat membantu penduduk mengatasi masalah yang dihadapi sementara menunggu peruntukan diluluskan untuk kerja-kerja pembaikan,” ujarnya.