Kurator galeri tersebut, Mohd. Khairil Hisham berkata, kerjasama dengan anak syarikat Utusan Melayu (M) Berhad itu diharap dapat memberi peluang kepada masyarakat mempelajari etika dan teknik menulis serta fotografi khususnya melibatkan pembesar negara dan golongan diraja.

Beliau berkata, banyak pihak yang berminat untuk mendalami pengetahuan dan kemahiran berkenaan namun tidak tahu di mana untuk mempelajarinya.

“Kita sudah merancang bengkel dengan pihak Sibermedia sehingga bulan Ogos depan dan mengenal pasti golongan sasaran. Kita akan fokus kepada peserta dari negeri ini, Melaka dan sebahagian Selangor dan Johor.

“Kita harap kerjasama ini akan mewujudkan hubungan dua hala pada masa akan datang. Sudah tentu kita perlukan rakan seperti Sibermedia dan Utusan. Kita tahu kalau kita bergerak sendiri tak akan mampu menarik orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Memeterai Kerjasama Strategik Galeri Diraja Tuanku Ja’afar dan Sibermedia di sini hari ini.

Yang turut hadir Penasihat Galeri Diraja Tuanku Ja’afar, Datuk Tuan Ibrahim Tengku Abdullah; Pengarah Eksekutif Sibermedia, Ainol Amriz Ismail dan Pengurus Besar Tintarona Publication Sdn. Bhd., Roslan Abdul Ghani.

Hadir sama Pengurus Kanan Jabatan Undang-Undang dan Kesetiausahaan Utusan Melayu (M) Berhad, Hanisah Hamzah dan Pengurus di Pejabat Pengerusi Eksekutif Utusan Melayu (M) Berhad, Mohd. Sabaruddin Daud.

Sementara itu, Ainol Amriz berkata, kerjasama strategik selama setahun itu bertujuan memantapkan ikatan melalui konteks ilmu, perkongsian bidang kepakaran dan kemahiran.

Beliau berharap ia dapat mewujudkan situasi ‘menang-menang’antara kedua-dua pihak dalam menganjurkan beberapa kursus terpilih dan menjadikan galeri itu sebagai pusat sehenti untuk latihan dalam bidang media sosial.

“Dalam masa yang sama, pihak kami juga boleh mempelajari pelbagai bidang penyelidikan, sejarah, busana dan protokol istana menerusi kerjasama ini,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE