Penganjuran acara oleh Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan dan Kelab Memanah Port Dickson itu berjaya menarik para peminat sukan memanah dari dalam dan luar negara serta orang ramai yang berminat mengetahui lebih lanjut mengenai sukan berkenaan.

Pengurus Besar Lembaga Pe­lancongan Negeri Sembilan, Baharudin Jali berkata, kira-kira 400 pemanah termasuk dari lima buah negara asing iaitu dari Thailand, Singapura, Indonesia, India dan Sri Langka mewakili 67 pasukan menyertai pertan­dingan itu.

“Port Dickson kini menjadi tarikan bagi penganjuran acara bertaraf antarabangsa kerana sebahagian besar kemudahan se­perti bilik penginapan pelbagai kategori terletak di sini.

“Melalui pertandingan se­perti ini akan memberi pulangan kepada industri pelancongan di daerah ini dan mempromosikan Port Dickson sebagai pemangkin sektor pelancongan Negeri Sembilan di peringkat antarabangsa,” katanya dalam sidang akhbar bagi mengumumkan pertandingan memanah itu di sini.

Yang turut hadir, Pengerusi Kelab Memanah Port Dickson, Sahak Abdullah.

Sementara itu, Sahak memberitahu, sebanyak dua ka­tegori dipertandingkan dalam acara itu iaitu recurve individu dan berpasukan yang dibahagikan antara lelaki dan wanita bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang.

Katanya, para peserta terdiri daripada mereka yang berumur bawah 16 tahun dan acara sam-pingan membabitkan peserta bawah 12 tahun.

“Pertandingan ini menawarkan pingat, hadiah iringan dan wang tunai yang kesemuanya berjumlah RM15,000.

“Acara ini mendapat pengiktirafan daripada badan sukan memanah profesional iaitu Persatuan Memanah Antarabangsa dan Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia,” ujarnya.

Tambahnya, sebanyak 20 gerai pameran dan jualan turut dibuka sepanjang pertandingan itu berlangsung.