Mereka ialah peserta dari Sabah, Nurul Husna Sharif yang akan membacakan surah al-Anbiya’ bermula ayat 98 mengikut taranum nahawand hijaz manakala qari dari Perak, Mohd. Kamaruzaman Daud akan membacakan ayat 84 surah Hud mengikut taranum nahawand soba’.

Qariah dari Wilayah Persekutuan, Noorul Hasliza Ahmad pula akan membacakan surah al-Anfal bermula ayat 27 mengikut taranum nahawand soba manakala qari dari Kedah, Mohd. Fakhrul Radhi Khamarudin membacakan surah al-Anbiya’ bermula ayat 1 mengikut bacaan taranum hijaz rast.

Peserta dari Pahang, Suhaili Mohd. akan membaca ayat 65 surah an-Nahl mengikut taranum soba rast manakala qari ketiga yang akan memperdengarkan bacaan pada malam ini ialah Abdul Hadi Che Ab. Halim dari Terengganu yang akan membacakan surah an-Nisa’ bermula ayat 171 mengikut taranum soba’.

Qariah keempat yang akan memperdengarkan bacaan ialah Norhazira Nabila Mohamad Kamel dari Perak yang akan membacakan surah ar-Ra’d bermula ayat 19 mengikut taranum soba hijaz.

Majlis pembukaan tilawah dan menghafaz peringkat kebangsaan tahun ini dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad malam tadi.

Seramai tujuh daripada 28 peserta telah memperdengarkan bacaan mereka malam tadi pada majlis tilawah yang bertemakan ‘Menyantuni Umat Membawa Rahmat’. - UTUSAN ONLINE