Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, langkah itu bagi memastikan dasar tersebut benar-benar menepati hasrat serta keperluan rakyat dan bukannya sekadar ‘syok sendiri’.

“Saya telah meminta para pe­mimpin masyarakat di seluruh ne­geri untuk mengumpulkan sebarang masalah dan isu yang dihadapi orang ramai untuk disalurkan dalam menggubal dasar itu.

“Kita mahu tahu masalah sebenar kerana sesuatu dasar yang dibuat tanpa mempedulikan mereka di peringkat akar umbi adalah dasar syok sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Bulan Usahawan Peringkat Negeri Sembilan di Kompleks Belia dan Sukan, Paroi di sini semalam.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan negeri, Datuk Hasnul Mohamed.

Mengulas lanjut, Mohamad ber­kata, Dasar Pembangunan Lu­ar Bandar diperkenalkan bagi me­ngelak jurang yang besar antara masyarakat di luar bandar dan bandar seiring dengan hasrat menjadi negeri maju menjelang 2045.

Katanya, kemajuan kawasan lu­ar bandar dapat mengelakkan daripada berlaku perpindahan masyarakat kampung ke bandar semata-mata untuk menikmati pembangunan.

Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata, pihaknya mahu mewujudkan lebih ramai usahawan di negeri ini sekali gus mengelak masyarakat terlalu bergantung kepada bantuan daripada pihak kerajaan.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan agensi-agensi kerajaan negeri supaya memainkan peranan ma­sing-masing dengan berkesan dalam membantu usahawan yang ingin menjalankan perniagaan.

“Mereka perlu mencambah peluang perniagaan dengan menjadi pemudah cara, bukannya pesaing kepada usahawan.

“Sebab itu kena ubah sikap, bukan lagi menyediakan per­khidmatan sebaliknya menawarkan perkhidmatan bagi memudahkan peniaga,” katanya.

Dalam majlis sama, beliau turut menyampaikan replika cek kepada lima usahawan yang me­nerima skim bantuan daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Mara.