Menteri Besar, Aminuddin Harun berkata, langkah itu diambil kerana kerajaan negeri bersimpati dengan peniaga terbabit yang terjejas ekoran kerja baik pulih dan naik taraf bahagian atas pasar akibat kebakaran tahun lalu.

“Kita menyediakan khemah untuk mereka berniaga di kawasan tempat letak kenderaan pasar ini tetapi ia menyebabkan masalah kepada pelanggan.

“Kita simpati dengan nasib peniaga terbabit dan membuat keputusan mengecualikan mereka daripada membayar sewa dan ini diharap dapat meringankan sedikit beban mereka,” katanya selepas mengadakan lawatan di Pasar Besar Seremban di sini.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Ke­sejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru negeri, Teo Kok Seong dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seremban, Datuk Abd. Halim Abd. Latif.

Dalam kejadian pada 9 September tahun lalu, hampir 90 peratus tingkat satu pasar berkenaan yang menempatkan lebih 300 lot gerai, musnah dalam kebakaran.

Sementara itu, Aminuddin berkata, beliau yakin perniagaan di pasar itu akan kembali pulih apabila kerja-kerja baik pulih dan naik taraf pasar besar itu selesai dijalankan kelak.

Ujarnya, pasar itu juga berpotensi menjadi tumpuan ramai berikutan infrastruktur yang disediakan selesa dan bertaraf kompleks beli-belah.

Katanya, kerja-kerja baik pulih telah siap sebanyak 70 peratus dan dijangka selesai sepenuhnya hujung tahun ini sekali gus peniaga dapat berpindah ke pasar itu pada awal tahun 2019.