Menteri Besar, Aminuddin Harun berkata, ini selaras dengan cadangan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) yang mahu kerajaan menyemak semula dasar Kuota Bumiputera bagi memberi rangsangan kepada sektor perumahan.

“Wakil REHDA ada berjumpa dengan saya dan menyatakan kebanyakan rumah lot Bumiputera yang tidak terjual terletak di kawasan penduduk masyarakat Tionghoa seperti di Rasah dan Temiang.

“Kawasan tersebut tidak mendapat sambutan kerana keadaan persekitaran komuniti setempat sekali gus memberi kesan kepada pemaju apabila rumah tidak terjual walaupun telah diiklankan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Ekspo Perumahan dan Hartanah (Mapex) 2018, di sini.

Yang turut hadir Presiden REHDA, Datuk Ir. Soam Heng Choon.

Ketika ini, kuota Bumiputera di bawah Dasar Perumahan Ne­geri Sembilan telah ditetapkan pada kadar 50 peratus.

Aminuddin menegaskan, kuota perumahan bagi Bumiputera di negeri ini akan dikekalkan pada tahap tersebut yang melibatkan 15 peratus bagi harga rumah tidak melebihi RM80,000; 15 peratus lagi tidak melebihi RM250,000 dan 20 peratus lagi pada kadar RM400,000.

“Bagaimanapun kami tidak akan membuat keputusan secara terburu-buru dan mengambil kira pandangan daripada semua pihak.

“Perkara paling penting adalah memastikan pembangunan dite­ruskan di negeri ini dan ia tidak memberi kesan negatif kepada pemaju,” ujarnya.